FAKULTI BIOKEJURUTERAAN DAN TEKNOLOGI
Universiti Malaysia Kelantan

Dari Meja Dekan


Prof. Madya Ts. Dr. Sarizam bin Mamat

Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan rahmat-  Nya. Saya  ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat  Allah S.W.T kerana, walaupun Fakulti Biokejuruteraan dan  Teknologi (FBKT) ini berada pada tahun kelima sejak beroperasi  sebagai sebuah fakulti pada 1 April 2017, namun banyak  kejayaan telah dicapai yang menunjukkan hasil kerja  berpasukan yang tinggi antara warga fakulti. 

Walaupun fakulti masih bergelut dengan pelbagai cabaran dan halangan terutamanya dalam mendapatkan calon-calon pelajar dan kemudahan makmal yang lebih kondusif serta dalam membangunkan program kita masih mampu menjulang pelbagai kejayaan dengan potensi sumber manusia yang berada di fakulti. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas serta terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga fakulti yang telah menunjukkan komitmen masing-masing untuk memastikan setiap usaha kita memberi impak yang bermakna bukan hanya kepada fakulti tetapi juga kepada universiti, masyarakat dan Negeri Kelantan. Saya berharap agar komitmen serta sokongan yang diberikan ini kekal subur dan diteruskan bagi menjadikan FBKT ”Relevent, Respected and Referred” dalam program akademik, penyelidikan dan pembangunan, sumber manusia, pelajar dan graduan yang akan dihasilkan selama kita semua berada di kampus yang kita kasihi ini. Warga FBKT disarankan agar terus berusaha tanpa henti dalam membentuk budaya baru yang sentiasa harmoni, positif, berganding bahu serta saling melengkapi antara satu sama lain dalam melaksanakan apa jua tugasan dan peranan untuk kemajuan fakulti pada masa hadapan.

FBKT mempunyai tiga jabatan iaitu Jabatan Asas Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, dan Jabatan Teknologi Bio dan Sumber Asli. Ketiga-tiga jabatan ini mempunyai peranan yang amat besar dalam membangunkan program-progam akademik, sumber manusia dan fasiliti di bawah jabatan masing-masing.

Untuk membangunkan dan memperkenalkan nama FBKT, semua staf telah menjalankan gerak kerja promosi bagi program akademik untuk menarik minat calon-calon pelajar daripada STPM, Matrikulasi, STAM dan Diploma untuk memasuki FBKT. Di samping itu, staf juga telah mempergiatkan usaha ke agensi kerajaan dan bukan kerajaan, universiti awam dan swasta, Politeknik, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta industri-industri yang berkaitan dengan bidang FBKT. Usaha ini adalah untuk melebarkan kerjasama dan jaringan industri sama ada untuk mendapatkan pelajar diploma untuk diserap masuk ke peringkat ijazah pertama di FBKT, kerjasama bidang penyelidikan dan khidmat masyarakat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan sebarang penglibatan daripada industri dan institusi untuk bersama meningkatkan pendidikan berteraskan sains dan teknologi di Malaysia. Sekian, terima kasih.