Aluan Dekan FBKT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabararakatuh dan Salam Sejahtera

Dr Azlina edit

Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan rahmat-  Nya, kita bertemu kembali di penghujung tahun untuk  memaklumkan segala pencapaian fakulti sepanjang tahun 2018.  Saya  ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat  Allah S.W.T kerana, walaupun Fakulti Biokejuruteraan dan  Teknologi (FBKT) ini berada pada tahun kedua sejak beroperasi  sebagai sebuah fakulti pada 1 April 2017, namun banyak  kejayaan telah dicapai yang menunjukkan hasil kerja  berpasukan yang tinggi antara warga fakulti. Penghargaan dan   ribuan terima kasih diucapkan kepada, mantan Dekan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi iaitu YBhg. Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Badhrulhisham Bin Abdul Aziz yang telah memimpin fakulti selama ini sehinggalah di penghujung bulan Julai 2018 sebelum dilantik sebagai Pengarah Pusat Strategik Korporat, UMK pada 1 Ogos 2018.

Walaupun fakulti masih bergelut dengan pelbagai cabaran dan halangan terutamanya dalam mendapatkan calon-calon pelajar dan kemudahan makmal yang lebih kondusif serta dalam membangunkan 6 program baharu dalam bidang Teknologi Kejuruteraan dan Bioinformatik, kita masih mampu menjulang pelbagai kejayaan dengan potensi sumber manusia yang berada di fakulti. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas serta terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga fakulti yang telah menunjukkan komitmen masing-masing untuk memastikan setiap usaha kita memberi impak yang bermakna bukan hanya kepada fakulti tetapi juga kepada universiti, masyarakat dan Negeri Kelantan. Saya berharap agar komitmen serta sokongan yang diberikan ini kekal subur dan diteruskan bagi menjadikan FBKT ”Relevent, Respected and Referred” dalam program akademik, penyelidikan dan pembangunan, sumber manusia, pelajar dan graduan yang akan dihasilkan selama kita semua berada di kampus yang kita kasihi ini. Warga FBKT disarankan agar terus berusaha tanpa henti dalam membentuk budaya baru yang sentiasa harmoni, positif, berganding bahu serta saling melengkapi antara satu sama lain dalam melaksanakan apa jua tugasan dan peranan untuk kemajuan fakulti pada masa hadapan.

FBKT mempunyai tiga jabatan iaitu Jabatan Asas Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, dan Jabatan Teknologi Bio dan Sumber Asli. Ketiga-tiga jabatan ini mempunyai peranan yang amat besar dalam membangunkan program-progam akademik, sumber manusia dan fasiliti di bawah jabatan masing-masing.

Sehingga kini, FBKT mempunyai kekuatan sumber manusia seramai 43 orang staf akademik aktif, 9 orang staf bukan akademik dan lima orang pensyarah yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D di dalam dan luar negara. Peratusan staf akademik yang mempunyai Ph.D adalah 90 peratus. Pelajar FBKT adalah seramai 437 orang yang sedang mengikuti tiga program pada peringkat prasiswazah dan 15 orang pelajar program pasca siswazah mod penyelidikan. Pada tahun 2018 ini merupakan tahun pertama pelajar bergraduasi di bawah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi dengan memakai hood berwarna kelabu iaitu seramai 183 orang pelajar pada 17 Oktober 2018.

Pada tahun ini, fakulti menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang penyelidikan kerana para penyelidik FBKT telah berjaya mendapatkan dana keseluruhan sebanyak RM 785,783 untuk pelbagai jenis geran. Antaranya ialah, kolaborasi penyelidikan antara Universiti of Seoul dan UMK menerusi Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi telah menyuntik dana sebanyak RM 68,000 dalam membuat analisis terhadap kualiti air di daerah-daerah di Negeri Kelantan. Menerusi geran Public-Private Research Network (PPRN) pula fakulti mendapat dana sebanyak RM70,100 untuk dua projek manakala menerusi Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), seramai 6 orang penyelidik FBKT telah berjaya mendapatkan dana sebanyak RM525,683 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, dana terkumpul untuk geran SGJPUU ialah sebanyak RM112,000 untuk dua projek dan Dana Tan Sri Fng Ah Seng sebanyak RM 10,000 untuk projek QUASEN - Aquaculture Smart Monitoring System Improvement. Para penyelidik FBKT juga turut berjaya mendaftar paten dan hakcipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk projek Biocomposite Film Composition, Singgora Roof Tile dan QUASEN - Aquaculture Smart Monitoring System.

Untuk membangunkan dan memperkenalkan nama FBKT, semua staf telah menjalankan gerak kerja promosi bagi program akademik untuk menarik minat calon-calon pelajar daripada matrikulasi, STPM dan diploma untuk memasuki FBKT. Di samping itu, staf juga telah mempergiatkan usaha ke agensi kerajaan dan bukan kerajaan, universiti awam dan swasta, Politeknik, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta industri-industri yang berkaitan dengan bidang FBKT. Usaha ini adalah untuk melebarkan kerjasama dan jaringan industri sama ada untuk mendapatkan pelajar diploma untuk diserap masuk ke peringkat ijazah pertama di FBKT, kerjasama bidang penyelidikan dan khidmat masyarakat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan sebarang penglibatan daripada industri dan institusi untuk bersama meningkatkan pendidikan berteraskan sains dan teknologi di Malaysia. Sekian, terima kasih.

 

PROF. MADYA DR. NOOR AZLINA BINTI IBRAHIM

DEKAN

FAKULTI BIOKEJURUTERAAN DAN TEKNOLOGI

Sertai Kami Di Facebook

 
  QR code FBKT     67 512      Fakulti Biokejuruteran Dan Teknologi (FBKT),
  Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli,
  Locked Bag 100,
  17600 Jeli,
  Kelantan, Malaysia.
orange telephone icon transparent png 28 +609-9477405 584ac2d03ac3a570f94a666d   www.facebook.com/Fakultibiokejuruteraandanteknologi     
 website icon 14   www.fbkt.umk.edu.my  social 01 512   +6011-31428719
 584856ade0bb315b0f7675ab   fbkt@umk.edu.my