Program Gamifikasi STEM Melalui Scratch 3.0 dan Microbit di SK Sungai Rual Jeli

Pensyarah FBKT, Prof Madya ChM Ts Dr Nor Hakimin Abdullah telah menyampaikan ceramah sempena Program Gamifikasi STEM Melalui Scratch 3.0 dan Microbit di bawah Program 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari (STI 100^3) Tahun 2024 pada 12 November 2024 lalu.

Program ini adalah inisiatif bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah agensi penggerak Young Scientists Network - Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) dengan rakan kerjasama Malaysia Board Of Technologists, MBOT Student Chapter@UMK dan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli (Ppd Jeli).

Bengkel ini diadakan di Makmal Komputer, Sekolah Kebangsaan Sungai Rual (SKSR), Jeli, Kelantan. Sebuah sekolah rendah berasrama murid orang asli suku kaum Jahai. Sekolah yang indah dan suasana yang damai dalam daerah Jelifornia.

Bengkel ini melibatkan 26 peserta daripada SKSR dan 24 orang murid daripada sekolah sekitar SK Gemang, SK Jeli 1, SK Jeli 2, SK Pasir Dusun, SK Legeh dan SK Sungai Long bersama guru pengiring yang terdiri daripada guru - guru subjek Rekabentuk Teknologi (RBT).

Pemilihan SKSR sebagai tuan rumah bagi memastikan keterlibatan, inklusiviti dan pemerkasaan anak-anak orang asli supaya tidak ketinggalan dalam bidang STEM selain memberi pengalaman murid - murid sekolah rendah sekitar Jeli untuk berinteraksi bersama anak - anak orang asli.

Alhamdulillah, semua peserta bengkel dapat mengikuti bengkel asas dan pembinaan animasi menggunakan pengaturcaraan blok Scratch 3.0 dengan baik. Output pembelajaran bengkel merupakan animasi dan cerita berjaya dihasilkan dan akan disambung pada bengkel siri seterusnya.

Terima kasih diucapkan buat Guru Besar SKSR Tuan Hj Ahmad Hayani Bin Awang dan Cikgu Zul Faizuddin yang sudi menjadi tuan rumah untuk program STI 100^3 ini.

Juga penghargaan buat fasilitator daripada MBOT Student Chapter@UMK dan Puan Hajah Nur Asyikin Mat Jusoh & PPD Jeli selaku rakan kerjasama.

Prof Madya ChM Ts Dr Nor Hakimin Bin Abdullah