Research Acculturation Series (FBKT-RACE) Talk - Siri 1

Pada 21 Mei 2024, satu program "Research Acculturation Series (FBKT-RACE) Talk" Siri 1 telah diadakan dengan jayanya di UMK Kampus Jeli, bertempat di BK5 dari jam 2.30 petang hingga 5.00 petang. Acara ini merupakan satu inisiatif yang dianjurkan oleh Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi dengan kerjasama dua kumpulan penyelidikan, iaitu Bioproduct and Bioprocessing Technology (BioPro) dan Tropical Wood and Biomass (WooBI).

Penceramah pertama iaitu Dr. Lum Wei Chen berbincang mengenai tajuk “How to Publish in High Impact Journals”. Dr. Lum telah memberikan panduan yang komprehensif tentang strategi dan teknik yang diperlukan untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi. Sesi ini memberi penekanan kepada kepentingan memilih jurnal yang sesuai, teknik penulisan yang berkesan, serta cara meningkatkan kebolehterimaan artikel penyelidikan.

Manakala penceramah kedua iaitu Prof. Madya Dr. Wee Seng Kew yang telah membuat perkongsian mengenai tajuk “Laws and Regulations related to Life Science Researches in Malaysia”. Prof. Madya Dr. Wee Seng Kew telah membincangkan secara mendalam mengenai peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan penyelidikan sains hayat di Malaysia. Beliau menekankan kepentingan pematuhan terhadap peraturan ini bagi memastikan kesahihan dan etika dalam penyelidikan.

Program ini telah berjaya menarik minat ramai penyelidik dan pelajar yang ingin memperkukuhkan pengetahuan mereka dalam bidang penerbitan dan perundangan penyelidikan sains hayat. Pihak fakulti berharap agar menerusi siri ceramah seperti ini, para penyelidik dapat meningkatkan kualiti dan hasil penyelidikan mereka, serta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Program ini juga merupakan langkah proaktif fakulti dalam menyokong pembangunan penyelidikan yang beretika dan berimpak tinggi di kalangan komuniti akademik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).